Saturday, November 07, 2009
Bila Yang Merah Jadi Putih
Seperti aku titipkan semalam, siapa menang dan kalah sudah pun tersurat sejak azali. Jadi keputusan 3-1 yang menyaksikan Negeri Sembilan mengatasi Kelantan seterusnya memenangi perlawanan seharusnya diterima. Yang nyata permainan pemain pemain Negeri Sembilan begitu kemas dan teratur, sedangkan apa yang aku lihat permainan pasukan Kelantan begitu longgar dan lemah, dan ada ketikanya hambar. Apa pun, mereka sudah mencuba.

Tapi yang lebih mengecewakan adalah sikap segelintir penyokong peyokong Kelantan. Fanatiknya pada aku terlalu keterlaluan. Fanatiknya yang membawa kepada hukuman yang terpaksa diterima oleh Persatuan Bolasepak Kelantan. Fanatiknya sehinggakan mencederakan orang lain. Fanatiknya menakutkan mereka yang waras.

Sekalipun kecewa dengan kekalahan pasukan sendiri, apa perlunya membakar kain rentang dan kerusi di stadium. Kenapa perlu dibaling objek objek seperti batu dan botol air? Mengapa mesti membaling mercun ke arah pemain lawan? Kenapa susah untuk terima kekalahan tersebut?

Maaflah, rasanya itu cukup memalukan. Cukup merugikan. Aku rasa hilang rasa hormat orang luar kepada mereka yang bersikap sedemikian. Sedih aku melihat kemeriahan warna merah akhirnya bertuka warna putih dan kelabu dek kerana asap mercun dan kerusi yang dibakar.

Apa apa pun tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan kerana telah sampai ke peringkat akhir perlawanan.




-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 11:32 PM | Permalink | 0 comments
Friday, November 06, 2009
Demam Merah - The Red Warrior

Walaupun aku sebenarnya bukan peminat sukan bola sepak, jauh sekali gemar bermain bola, yang terasa kini dek kerana bahang pertarungan akhir Piala Malaysia begitu menular. Apalagi ia melibatkan pertembungan antara negeri kelahiran aku dan negeri kelahiran god-brother aku, Ez. Sejak seminggu lalu, ruangan sukan di dada akhbar sibuk mencongak siapa pemenang antara dua negeri. Turut diulas tentang persembahan kedua dua pasukan sedari awal musim dan kekuatan yang dimiliki masing masing.

Hari ini dalam perjalanan aku ke pejabat, Sinar FM turut menjadikan pelawanan akhir Piala Malaysia kali ini sebagai topik bual bicara bersama pendengar. Pemain utama dari kedua dua pasukan turut diundang ke konti, walaupun salah seorang darinya tidak dapat hadir pada saat saat akhir atas alasan tertentu.

Di Stadium Bukit Jalil, venue utama perlawanan tersebut telah dikunjungi orang ramai seawal pagi untuk membeli tiket walaupun kaunter hanya dibuka sekitar jam 9 pagi. Gerai gerai menjual pakaian turut dibuka untuk menjual pakaian pasukan yang bertanding.

Tapi yang nyata, warna merah begitu terang menangkap mata. Sana sini seolah demam warna merah, warna yang mewakili pasukan negeri Kelantan. Terasa meluap luap semangat untuk turut menyokong pasukan ini.

Malah rumah aku turut menjadi sasaran beberapa penyokong pasukan Kelantan untuk bertandang. Apa tidaknya, adik aku Elly, dan 5 rakan rakannya akan menumpang tidur setiba dari Kelantan untuk menonton perlawanan tersebut. Malah sepupu aku yang turut menjadi salah seorang kuat kelab peminat pasukan Kelantan akan turut datang ke rumah aku sementara menanti perlawanan di sebelah malam.

Pun begitu, aku tidak dapat untuk bersama sama mereka ke stadium kerana kebetulan pada hari yang sama di sebelah siangnya, aku terpaksa ke Pulau Carey untuk menyertai IT – Escapade yang menjadi acara tahunan di tempat kerja aku. Aku mungkin sampai ke rumah seawal jam 7:30 malam. Jadi rasanya aku tidak mungkin dapat ke stadium untuk bersama penyokong penyokong yang lain. Rasanya cukuplah kalau aku menyaksikan perlawanan secara langsung dari kaca TV.

Apa pun, kalau ada penyokong penyokong pasukan yang bertanding membaca blog aku ketika ini, aku harap mereka akan menonton dengan penuh semangat kesukanan. Kalah atau menang sudah pun tertulis. Tak perlulah merusuh atau melakukan perkara perkara yang boleh membawa kepada pergaduhan. Ruginya diri sendiri juga.

The Red Warriors – all the best!


(credit: top picture taken from Obi-Akpere's Flickr, left picture 1 & 2 taken from Zaki.Abd's Flickr, and right picture taken from SemutHutan's Flickr)




-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 7:05 PM | Permalink | 0 comments
Saturday, October 31, 2009
Pulang Yang Abadi

Sebenarnya sudah hampir 2 tahun kesihatannya tidak menentu. Dan hampir 2 tahun itulah dia tidak ke mana mana. Sekadar di rumah dan hospital, berulang alik untuk mendapat rawatan demi rawatan. Setelah disahkan oleh doktor yang ketumbuhan di belakang dan atas kepalanya adalah sejenis barah. Selama menjalani kimoterapi, tak seorang pun dibenar mengunjunginya. Alasan cuma satu, untuk mengurang, kalau bukan mengelak, jangkitan kuman atau virus yang mungkin terjadi disebabkan sistem pertahanan badannya kian lemah dari masa ke masa. Seminggu selepas Syawal lepas, dia mula tidak sedar. Bukan koma. Tapi tidur dan tidak pernah terjaga. 2 minggu yang lepas, aku diizinkan menziarahnya bersama keluarga aku yang kebetulan turut berada di ibu kota. Yang aku lihat terbaring di katil cukup berbeza dari dirinya yang aku kenal selama ini. Matanya cuma terpejam dan longlai di katilnya. Tak sanggup aku renung lama lama. Hiba hati aku.

Dan saat aku dalam perjalanan ke ofis Selasa yang lepas, pagi itu aku dikejutkan oleh berita yang begitu memilukan. SMS yang dikirim nyata membuat aku kelu seketika. Innalillah… itu yang mampu aku ucap sejurusnya. Lalu membalas kiriman SMS untuk mengucap takziah. Selepas menghantar adik aku Ez ke pejabatnya, dan singgah seketika ke pejabat aku, aku bergegas ke rumahnya. Ahli keluarga jauh dan dekat sudah mula berkumpul. Sahabat dan jiran tetangga turut bertandang. Wajah wajah sayu dapat aku lihat jelas. Terkesan dengan suasana. Aku terus mencapai naskah surah Yasin, dan membacanya perlahan.

Urusan pengkebumian berjalan lancar. Secara langsung, dapat aku lihat jelas jenazahnya diturunkan ke tempat persemadiannya yang baru. Sebak dan insaf terasa. Apa lagi bila talkin dibaca. Seperti tidak percaya, itu adalah untuknya.

Al-Fatihah buat makcik aku… semoga Allah senantiasa merahmati rohnya dan tempatkannya bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Terima kasih untuk semua jasa baik dan tunjuk ajarnya kepada aku selama ini – hanya Allah mampu membalas setiap kebaikannya.

Buat semua anak dan cucunya… semoga tabah mengharungi liku hidup tanpa ibu tercinta di sisi. Apa yang membanggakan aku, cucu kesayangan adalah orang yang mengimamkan solat jenazah, dan mengepalai majlis tahlil untuknya. Aku pasti dia juga pasti berbangga.

Sekali lagi, al-Fatihah buat allahyarhamah Hajah Taasiah.



(credit: picture taken from Neelofar_USA)




-XiS-

Labels: , , ,

 
posted by Xis at 2:15 AM | Permalink | 3 comments
Sunday, September 27, 2009
Hanya Kawan
Pernahkah di antara kita, dalam menjalinkan persahabatan, tiba di persimpangan bila hati tiba tiba dicuit oleh keinginan yang mengelirukan? Sebahagian dari kita ingin meneruskan jalin persahabatan, tapi sebahagian lain, ingin meneroka rasa yang lebih mendalam, lebih dari seorang kawan. Mudah kalau kedua duanya mempunyai rasa yang sama. Tapi berlainan jika kata putus telah diberikan sedari awal – hanya sebagai kawan. Mungkin kalau kita berterus terang, kemesraan yang sedia ada mungkin berubah menjadi pudar dan tawar. Akan ada jarak antara kita. Atau mungkin, kita akan kehilangan insan tersebut sebagai teman.

Kalau kita bimbangkan risikonya, mungkin yang terbaik untuk kita adalah dengan memendam rasa tersebut. Berharap ia mungkin akan hilang atau setidak tidaknya reda begitu saja. Mungkin itulah jalannya yang seharus dipilih. Mungkin lebih baik berputih mata kerana tidak memilikinya daripada kehilangan sahabat kita.



Takut - XiS

Aku takut
Hati kembali jatuh
Pada cinta
Pada kasih
Dan pada rindu

Aku takut
Kiranya rasa ini
Menawan kalbu
Mendera jiwa
Meragut kewarasan

Aku takut
Andai ini salah
Bukan mahunya
Bukan pintaku
Bukan begini seharusnya

Siapa dia
Mengapa dia
Hakikatnya aku tahu
Dia padaku sahabat
Cuma sahabat

Aku takut
Hati telah dicuri
Oleh lirik matanya
Oleh manis senyum
Oleh santun bicaranya

Aku takut
Laraku kerana cinta
Pergimu kerana keliru
Dan aku takut
Kehilanganmu




(credit: picture taken from almostsavvy.com)



-XiS-

Labels: , , ,

 
posted by Xis at 11:15 PM | Permalink | 9 comments
Wednesday, September 16, 2009
Ucapan Dari Hati

Tiba sudah kita ke penghujung Ramadhan al-Mubarak. Begitu cepat sekali. Dan itulah hakikat. Sebulan terasa seolah seminggu saja. Teringat lagi semasa zaman kanak kanak dulu. Bukan saja sebulan terasa cukup panjang, bahkan menunggu waktu berbuka terasa begitu mencabar dan terlalu lama. Tapi itu di zaman aku masih kanak kanak. Hari ini puasa terasa nikmatnya yang sukar untuk diekspresi. Bila puasa hampir berlalu, terasa syahdu untuk berpisah dengan bulan yang diberikan rahmat yang berganda ganda ini.

Kini hari raya semakin hampir. Bercakap pasal hari raya, orang kata hari raya hari kita patut gembira. Tapi kenapa ada yang bersedih setiap kali tiba hari raya? Kenapa kebanyakan lagu lagu raya begitu mendayu dayu? Perlukah bersedih dan muram durja? Benar, kita patut gembira di Aidilfitri. Tapi itu tidak bermakna salah untuk kita bersedih. Kerana di antara kita nasib berbeza. Yang beruntung dapatlah mereka bersuka ria. Tapi bagi yang merasa kehilangan, sebaknya terlalu terasa. Apatah lagi bila mengenang diri sebatang kara. Hanya Tuhan maha mengerti isi hati manusia ciptaanNya. Semoga yang bersedih dan duka lara, mereka dapat menguatkan hati dan iman masing masing.Yang hilang bukan kerugian, tapi satu keuntungan. Yang pergi bukan kehilangan, tapi satu pertemuan. Yang terlepas bukan kekecewaan tapi satu kesyukuran. Insya’Allah.

Hari ini, beberapa jam lagi dari sekarang aku akan berangkat pulang ke kampung halaman untuk bersama ayah dan ibu serta adik beradik aku yang lain. Seperti biasa pilihan aku cumalah kapal terbang. Selain mengambil masa yang lebih singkat untuk sampai ke destinasi, ia lebih lebih selamat pada aku. Bercakap mengenai keselamatan, aku berharap kepada semua yang mengambil pengangkutan darat untuk pulang beraya agar dapat memandu secara berhati hari dan berhemat. Elakkan rasa ingin berlumba dan rasa berebut dengan pemandu yang lain. Ngeri aku mendengarkan kisah kisah kemalangan di jalan raya. Longlai segala sendi kaki. Biar pun lambat sampai, yang penting kita semua selamat sampai ke kampung masing masing.

Sempena lebaran bakal menjelang, ingin aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua sahabat taulan di mana jua berada; dan tidak lupa kepada semua pengunjung blog Bila Pena Menari. Semoga lebaran di tahun ini kita dapat merayakan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.

Wassalam


(credit: caligraphy taken and modified from Vectorism)



-XiS-

Labels: , ,

 
posted by Xis at 2:15 AM | Permalink | 5 comments
Thursday, September 03, 2009
Di Permulaan Ramadhan

Hari pertama puasa jatuh pada hari Sabtu. Saat kebanyakan orang ramai memilih untuk pulang ke kampung halaman untuk berpuasa bersama ahli keluarga terdekat, aku putuskan untuk berada di Kuala Lumpur, menyambut Ramadhan pertama di sini. Kebetulan teman baik aku, Zahar juga tidak pulang ke kampungnya. Jadi kami berdua merancang untuk menunaikan solat terawih di Masjid Putrajaya. Kerana tidak mahu terlambat untuk solat Isyak berjemaah di sana, kami juga memutuskan untuk berbuka puasa di medan selera berhampiran Pusat Kesihatan Putrajaya.

Jam 630 petang, kami berdua ke Putrajaya. Rupanya setiba kami di medan makan tersebut, tidak ada satu pun kedai makan yang dibuka. Mungkin semuanya pulang ke kampung masing masing. Dari membuang masa mencari kedai makan yang lain, atau terpaksa beratur panjang untuk membeli makanan kami di mana mana tempat makan, kami memutuskan untuk berbuka puasa di Masjid Putrajaya.

Sangka kami cuma sebilangan kecil jemaah yang berbuka di sana. Sampai di Masjid Putrajaya, kami dapati ramai yang berada di sana untuk turut serta berbuka. Ada yang membawa keluarga, ada yang bersama kawan kawan, dan ada yang bersendirian. Majlis berbuka dimulakan dengan hidangan kuih dan buah tamar serta air. Usai berbuka, kami semua mengerjakan solat Maghrib berjemaah dan bila selesai, kami beramai ramai beratur untuk mengambil makanan yang disediakan oleh katerer.

Seketika bila menjamah makanan, dapat aku rasa berutung aku berpeluang untuk berbuka bersama para jemaah yang aku tidak kenali. Terasa benar diri seorang musafir. Terimbau saat aku berada di perantauan satu masa dulu. Semuanya tersemat kemas dalam ingatan.

Berbalik pada iftar pertama, selesai menjamu selera, aku turut menyertai jemaah yang lain berada di dalam dewan solat utama sambil membaca kitab suci. Bilangan jemaah makin bertambah untuk menunaikan Isyak dan Terawih. Bila selesai Isyak, kami teruskan dengan solat Terawih.

Hari kedua puasa, sekali lagi kami memutuskan untuk berbuka puasa di masjid. Kemeriahan yang dirasa semasa berbuka puasa di masjid pada hari sebelumnya bagai mengundang kami lagi. Kali ini, kami memilih untuk berbuka di Masjid Tuanku Mizan atau turut dikenali Masjid Besi. Ia adalah masjid dan mercu tanda terbaru di Putrajaya dan terletak berhampiran tasik Putrajaya.

Masjid baru ini, berbeza dengan masjid yang lainnya. Ia lebih berkonsep “open space” di mana tiada dinding yang didirikan seperti bangunan masjid yang lain. Kerana sifatnya yang terbuka, jadi ketika di dewan solat, dapat dirasakan tiupan angin tasik yang memasuki dewan tersebut. Salah satu tarikan utama masjid ini adalah paparan ayat ayat suci Al Quran pada kaca di belakang kawasan mimbar yang dikenali sebagai Dinding Mihrab. Kerana dibuat di atas kaca, dari jauh kelihatan seolah olah ayat ayat dari Surah Al Baqarah dan Surah Ibrahim tersebut terapung di awangan. Parkir di masjid ini juga berbeza dari masjid yang lain, di mana ia disediakan di tingkat bawah masjid, dan juga di bangunan yang bertentangan masjid tersebut. Antara lain lain tarikan ialah:


Kiblat Walk - Ruang kolam umpama Istana Al Hambra yang menghadap kiblat
Iwan Utama - Laluan gerbang utama menuju Sahn yang terukir Asma Ul Husna
Sahn - Kawasan laman menempatkan ruang solat terbuka dan padang


Di masjid ini, aku dan Zahar sekali lagi dapat menyertai jemaah yang lain untuk berbuka puasa dan berjemaah untuk solat fardu dan solat sunat Terawih sebagaimana hari sebelumnya. Pengalaman ini pada aku sesungguhnya adalah sesuatu yang berbeza dari Ramadhan sebelum ini.


(credit: main picture of Masjid Besi is taken from Silversider-Zul's Flickr, while others are my own)



-XiS-

Labels: , , , , ,

 
posted by Xis at 7:05 PM | Permalink | 8 comments
Sunday, August 23, 2009
Dari Hujung Pena


Bila Hati Menangis – XiS


Dalam deraian hujan
Angin malam bersenandung
Lagu kecewa yang dalam
Tidak terlihat oleh mata
Hanya terhiris di kalbu

Ada bisik dalam guruh
Memalu rongga segenap anggota
Getar di sukma ini
Menggigit seluruh jiwa
Yang tandus dan alpa

Hati ingin memohon
PetunjukMu ya Rahman
Mencari diri yang tersimpul
Dalam gelap kesesatan
Hanyut di sungai usia

Bila mana khilaf
Lorongkan aku ke pangkalnya
Temukan aku putihku
Bukan bayang hitam
Untuk ku bawa padaMu

Sujudku mencari kasihMu
Se pertiga malam yang sepi
Terangilah hidup dengan nurMu
Menyuci cemar noda
Kerana aniaya ingkar diri

Aku ingin pulang
Dalam iman berat di batin
Dengan taqwa sarat
Moga pintu rahmat syurgaMu
Tidak pernah tertutup untukku

Hati memohon padaMu
Ya Robbana Dholamna Anfussana
Wa Illam Taghfirlana
Wa Tarhamna Lanakunanna
Minal Khusirin




-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 1:23 PM | Permalink | 1 comments
Friday, August 21, 2009
Ramadhan Kareem

Doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan; Ya Allah, tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal hal yang berikut:


* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.


Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang meng-Aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat. Bersamalah kita bermaaf maafan. Semoga ibadah puasa kita mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah SWT. Insya'Allah.




-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 12:30 AM | Permalink | 4 comments
Friday, August 07, 2009
Jalan Kehidupan
Pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad memang mengejutkan semua. Pulangnya ke rahmatullah membawa seribu satu kisah, dan semuanya telah dikongsikan oleh beberapa teman rapatnya melalui dada akhbar dan mungkin juga laman internet. Pastinya kita telah kehilangan seseorang yang begitu kreatif dalam bidang perfileman dan pengiklanan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-fatihah.

Sebenarnya entri kali bukanlah untuk aku tuliskan mengenai arwah yang langsung tidak aku kenali secara peribadi. Tapi apa yang membuatkan aku menulis entri kali ini mempunyai persamaan dengan kejadian yang menjadi punca beliau tiba tiba rebah ketika membentangkan kertas kerja di Seri Pentas, dan seterusnya koma sehingga beliau disahkan meninggal dunia. Apa yang dilalui Allahyarham Yasmin hampir sama dengan kawan karib aku, Zahar. Dan ia berlaku pada awal Jun yang lepas.

Bila aku mendapat tahu apa yang terjadi pada Zahar, aku segera bergegas ke hospital di mana dia ditempatkan. Nasib Zahar lebih baik berbanding Yasmin. Zahar sedar selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital. Malah pembuluh darah dalam otaknya juga belum pecah.

Ketika hari kejadian, hanya aku dan Wan yang diberitahu. Tidak ada seorang pun ahli keluarganya yang tahu mengenai musibah ini. Malah, aku orang yang pertama cuba dihubungi oleh pihak hospital. Kerana Zahar tidak membawa handphonenya, pihak hospital menghubungi aku dengan bantuan operator untuk mendapatkan nombor tempat aku bekerja. Tapi kerana aku tidak berada di tempat aku, panggilan tidak berjawab. Orang seterusnya yang dihubungi adalah Wan, juga melalui telefon pejabat. Untungnya, Wan ada di situ. Dan Wan langsung menelefon aku. Kedua dua kami bergegas ke hospital menemui Zahar.

Doktor mengesahkan Zahar harus menjalani pembedahan membuang salur darah yang tersumbat di otaknya. Tapi harus menunggu selama dua ke tiga minggu untuk hari pembedahan. Bingung, risau, sedih, takut.. semuanya ada.. bukan hanya pada Zahar. Tapi juga pada aku dan Wan. Rasa ngeri turut ada bila doktor menceritakan apa yang akan dilakukan. Zahar berkeras untuk tidak memberitahu keluarganya. Alasannya dia tidak mahu merisaukan keluarganya. Tapi kami berjaya memujuknya. Orang pertama yang diberitahu adalah adik perempuannya yang rapat dengan Zahar. Menerusi adiknya, ahli keluarga yang lain turut dikhabarkan berita itu.

Zahar turut memutuskan untuk ditempatkan di Hospital Pakar Damansara. Untungnya di situ Zahar tidak perlu menunggu lama untuk menjalani pembedahan. Dua hari selepas dimasukkan di situ, pembedahan dilakukan oleh pakar bedah Dr Zurin. Pembedahan yang memakan masa hampir 6 jam itu berjaya dilakukan, dan Zahar ditempatkan di ICU.

Bertemankan adik aku, Ez, kami terus menjenguk Zahar di ICU selepas sahaja waktu bekerja pada hari itu. Melihat apa yang terpaksa dilalui oleh Zahar, memang menyedihkan aku. Tapi terus terang, aku lega kerana pembedahan itu berjaya. Dan Zahar juga mula sedar bila dipanggil namanya. Tapi kerana kesan bius yang masih ada, dia masih kelihatan lemah. Wan turut datang pada malamnya selepas kerja, manakala kedua dua orang tuanya datang sebelum aku sampai.

Alhamdulillah, hari ini Zahar sudah sihat. Sudah dapat berjalan. Dan pada minggu yang lepas, Zahar sempat berCuti Cuti Malaysia ditemankan Wan yang kebetulan turut bercuti. Cuma selama tiga bulan selepas pembedahan, Zahar dinasihatkan untuk tidak menaiki kapal terbang. Mungkin kerana tekanan udara yang berbeza semasa di dalam penerbangan yang menjadi kebimbangan. Zahar turut dinasihat tidak memandu sendirian atas faktor keselamatan.

Sekali lagi rasa gembira melihat Zahar kembali sembuh. Pada aku dan Wan, kami rasa begitu bersyukur, bukan saja kerana Zahar sudah kembali sihat, tapi kerana dapat menzahirkan tanggungjawab kami sebagai kawan karib Zahar yang menjaga dan menemaninya dari hari pertama Zahar di hospital sehingga dia keluar dari hospital.

Dari kami, terima kasih buat semua doktor dan jururawat di Hospital Serdang dan semestinya di Damansara Specialist Centre. Juga terima kasih buat mereka yang membantu Zahar semasa dia jatuh pengsan di stesen minyak berhampiran kawasan perumahannya. Semoga Tuhan akan membalas jasa baik semua. Amin...




-XiS-

Labels: , ,

 
posted by Xis at 1:30 AM | Permalink | 6 comments
Wednesday, July 29, 2009
Fly Me Home, Fly Me Back...

Honestly speaking, in my mind right now I’m thinking of a few things planned while I’m in my hometown this weekend. Also, thinking of which Transformers to get for Haikal, Syafirul and Darwish – my little nephews. Still remember a few weeks back when I called my mom, and that time Syafirul was around. He asked my mom if he could speak to me. The moment my mom passed the phone to him, he instantly asked me to get him and his two other cousins a Transformer robot. I’ve already checked on the price, and it’s quite pricy for a small robot. But it’s not the price that becomes my concern, it’s how long it can last IS my main concern. I remember buying them a few toys before. But kids are kids, their curiosity sometimes causes a toy like a car to lose its parts one after another etc. Anyway, as promised, they sure will get a robot for each.

Besides that, I’m so looking forward to going back to my hometown this time as it is my first trip home after almost one year. The last trip was during Hari Raya Puasa last year. My parents have been asking about me coming home a few times before. So, I think this is the best time to go home, especially since Ramadhan will come soon. And maybe because I have not gone home for quite sometime already, the mood of “Balik Kampung” really excites me.

Now 2 more days.. and I’m counting it down…



(Picture taken from: aljawhar.wordpress.com)



-XiS-

Labels: , , ,

 
posted by Xis at 7:15 PM | Permalink | 6 comments
Thursday, July 23, 2009
Seutuh Tembok Besar China

Kebelakangan ini ternyata aku sering diganggu perkara perkara silam. Apa yang pernah aku lalui bersama seseorang itu tiba tiba datang mengusik. Sehingga jalan jalan yang pernah aku susuri bersama si dia adakalanya mengundang keharuan hati. Seolah lipatan helaian helaian kenangan yang telah rapi terkunci terbuka satu per satu.

Sebenarnya aku tahu apa yang menjadi puncanya? Mungkin kerana kebelakangan ini bila aku berhubungan dengan teman baikku, yang juga merupakan sahabat karibnya, aku seolah terasa kekurangan bila di antara kami tiada dia. Seolah tidak lengkap. Walhal perkara ini sudah lama sebegini. Hampir 5 tahun. Sedangkan semua yang pernah terjadi aku telah sedayanya cuba untuk tidak mengenangkan. Kerana yang pahit tetap pahit, dan yang manis sayangnya jadi racun di kemudian hari.

Bila aku cuba melupakan, sebolehnya aku tidak akan pernah menyebut lagi tentang sesuatu atau seseorang itu. Aku tak mahu lagi mengimbau apa yang sudah menjadi sejarah dan duka dalam hidup. Tapi Tuhan Maha Berkuasa. Dia Penentunya. Yang aku sangka sudah luput dalam ingatan rupanya tidak pernah hilang.

Mungkin benar inilah rasanya rindu. Inilah rasanya derita. Mungkin ini juga rasanya kehilangan. Siapa sangka bila cinta yang pernah terbina dan roboh, rupanya kasihnya masih menebal dan utuh. Seutuh Tembok Besar di tanah besar China…

Tuhan, tolonglah aku… Wajarkah semua ini?




-XiS-

Labels: , ,

 
posted by Xis at 12:01 AM | Permalink | 9 comments
Monday, July 13, 2009
Kembali Seketika

Sudah lama tidak bertandang di ruangan maya ini. Sudah lama Bila Pena Menari tinggal terbiar tanpa bingkisan baru. Bukan sengaja mahu meninggalkan blog ini bagai tak bertuan. Tapi tuntutan tugas yang membebankan pemikiran, kesempitan waktu yang terluang – semuanya seolah menjadi sebab mengapa ruang ini sepi seketika. Malah cuaca yang tak menentu mengganggu kesihatan turut membuatkan aku menjauhkan diri seketika.

Namun selama tempoh berdiam diri, banyak perkara yang berlaku. Ada yang mengundang senyum tawa. Ada yang meninggalkan tompok tompok duka. Apa pun… untuk waktu ini biar aku simpan seketika kisah kisah tersebut. Bila waktu mengizinkan, aku pasti kongsikan.

Cuma apa yang aku mahu suarakan ialah rasa kegembiraan yang dikongsikan bersama hari ini. Dua sepupu terdekat aku mengutus SMS menyampaikan khabar gembira. Kedua duanya menimang cahaya mata. Ida, yang melahirkan anak sulungnya pada 10 Julai lepas, dan Azizee yang menyambut kelahiran anak ketiganya pada petang semalam. Tahniah buat mereka. Makin bertambah ahli keluarga besar kami. Dan menghitung hari untuk menyambut kelahiran anaknya ialah seorang temanku yang juga sahabat blogger. Khabar khabarkan nanti ya?

Apa apa pun, terima kasih buat teman teman yang sering bertanya khabar. Terima kasih buat ingatan itu. Sehingga di lain waktu… wassalam.




-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 12:15 AM | Permalink | 5 comments
Sunday, May 10, 2009
Momma - A True Love

This one is for all the ladies out there who deserve to be called a mother. To my mom - I love you so much... thank you for all your love and everything you have given me since I was still in your womb. Thank you for always being there for me... Happy Mother's Day...



(credit: top image taken from CoolFreeImages)
(credit: bottom image taken from Comments101.Com)



-XiS-

Labels: ,

 
posted by Xis at 12:30 AM | Permalink | 8 comments
Tuesday, May 05, 2009
Sesejuk Air Di Kali

Kebelakangan ini cuaca panas sudah melanda Kuala Lumpur. Hujan sudah terlalu jarang, dan kalau turun pun, begitu sekejap dan sedikit. Bahang siang terasa hingga ke malam hari. Aku yang tidak menggunakan penyaman udara di rumah terasa tak keruan terutama bila tiba masa tidur. Biasanya sebelum tidur, aku akan mandi semula bagi menyejukkan badan. Dan bertemankan kipas yang berpusing seligat yang mampu, aku cuba mencari keselesaan dalam malam yang hangat.

Kerana cuaca yang begitu tidak selesa, setiap hari minggu aku akan ke jeram di Hulu Langat. Bukan sekadar berkelah, yang pentingnya aku dapat mengurangkan rasa hangat dalam tubuh badan. Bertemankan kawan rapat aku Wan dan Zahar, kami berkereta ke arah kawasan berbukit di Hulu Langat, berhampiran Gunung Nuang. Antara air terjun dan jeram, aku memilih untuk ke jeram yang pada aku lebih selesa tempatnya. Tidak perlu bersusah payah berebut dengan orang yang terlalu untuk mandi manda, terutama di kawasan air terjun yang terlalu berbatu dan licin.

Dengan pemandangan menghijau di sekeliling menjadikan hari yang panas begitu tenang dan damai. Perjalanan yang agak jauh dari rumah terasa begitu berbaloi. Tidak ada lagi hiruk pikuk kota. Tak ada lagi debu debu kota. Yang terdengar nyaring suara cengkerik. Sesekali ada suara unggas unggas yang memecah sunyi. Redup rimbunan dedaun seperti memayung sesiapa sahaja dari bahang suria yang menerjah. Dan yang paling nyaman bila kedengaran alunan arus jeram yang membelah meredahi batu batu yang pelbagai saiz.

Tidak puas dengan hanya berendam, kami turut bermain main sambil membiar badan dihanyut arus di jeram yang airnya sedalam paras paha. Bila perut mula berbunyi, cepat cepat kami berlari ke pondok yang sudah disediakan orang kampung yang letaknya hanya di tebing sungai. Di situlah kami tempatkan makanan dan persalinan kami. Di situlah kami berBBQ untuk mengalas perut. Di situlah tempat kami bersolat selesai makan, dan sebelum kembali berbasahan.

Bila matahari sudah hampir berlabuh, barulah kami bersiap untuk pulang, meredahi kembali arus trafik yang sentiasa sibuk. Sebelum menghantar Wan dan Zahar pulang, kami bertiga akan menjamu selera bersama sekali lagi menikmati santapan malam di restoran atau gerai berhampiran. Walaupun badan sedikit penat, tapi kepuasannya tetap terasa.

Kini kedatangan kami ke jeram seperti sudah menjadi rutin di hari minggu. Untuk minggu minggu mendatang, kami sekali lagi merancang untuk ke sana lagi. Sudah terfikir apa yang bakal dibuat dan dibawa untuk ke jeram lagi. Rasanya sudah seperti tidak sabar lagi untuk ke sana. Dingin air jeram menggamit kami lagi – semestinya.




-XiS-

Labels: , , ,

 
posted by Xis at 7:20 PM | Permalink | 9 comments
Wednesday, April 22, 2009
Good Luck! Get Well!

Entri ini adalah untuk dan mengenai dua orang daripada beberapa individu terpenting dalam hidup aku. Kedua duanya adalah adik kesayangan aku. Kedua duanya melalui saat saat getir ketika ini. Dan kedua duanya memenuhi fikiran aku ketika ini.

Semalam aku mendapat SMS dari satu satunya adik perempuan aku. Katanya dia akan menduduki peperiksaan akhir semester bermula hari ini. Lalu dimintanya aku mendoakan supaya segalanya dipermudahkan buatnya dan agar dia dapat mengingati apa yang dipelajarinya semasa menjawab kertas soalan. Sememangnya begitulah adik aku, Nonie, setiap kali tiba hari peperiksaan.

Namun peperiksaan kali ini penting baginya. Dan peperiksaan kali ini adalah berbeza dari yang sebelumnya. Bezanya ialah ini merupakan peperiksaan terakhirnya sebelum menamatkan penggajiannya di universiti Mei nanti. Terlalu cepat 6 tahun berlalu. Bermula dari peringkat diploma dan kini ijazah yang hampir ke penghujung, dia hampir pasti bergelar graduan. Segulung ijazah sudah pasti di tangan, insya’Allah.

Petang tadi bila aku mengutus pesanan ringkas bertanya tentang peperiksaannya hari ini, jawapan yang diterima begitu menyakinkan aku yang dia dapat menjawab setiap soalan sebaik baiknya.

Sebagai abang, aku semestinya mendoakan yang terbaik untuknya. Dan aku semahunya inginkan yang terbaik menjadi miliknya. Sebagai pembakar semangat, aku menjanjikan saguhati buatnya. Apa juga saguhatinya tidak penting. Yang penting buat masa ini, keputusan peperiksaannya harus mencapai kecemerlangan. Semoga cemerlang selalu buat adik aku, Nonie


Semalam juga, aku mendapat pesanan ringkas dari “god brother” aku, Ez. Katanya dia tidak sihat dan demam. Walhal sebelah paginya dia ke Melaka untuk menghadiri mesyuarat di sana. Tapi bila pulang ke rumahnya, suhu badannya tidak keruan. Aku segera menelefonnya untuk bertanya khabar. Dari suaranya memang benar dia tidak sihat. Suaranya semakin serak. Aku cuma berpesan padanya agar berjumpa doktor dan tidak lupa untuk mengambil ubatnya.

Dan tengahari tadi sewaktu aku sedang di dalam meeting, Ez menghantar mesej untuk memberitahu aku yang dia telah dimasukkan ke wad di hospital sejak awal paginya berikutan keadaannya yang semakin teruk. Terkedu sebentar aku.

Selepas meeting, aku terpaksa membatalkan rancangan aku untuk makan tengahari dengan beberapa rakan. Bukan tidak mahu, tapi itu yang terbaik untuk aku. Biasanya aku mudah mengantuk selepas juadah tengahari. Dek kerana aku mahu ke Seremban untuk menjenguk Ez di hospital, aku tidak mampu untuk memandu sambil mengantuk. Terlalu banyak risikonya. Jadi usai meeting, aku segera ke Seremban. Hampir satu jam memandu, sampai juga aku di hospital tersebut.

Sebenarnya kedatangan aku tidak diketahui adik aku, Ez. Bila melihat aku memasuki wad, dia agak terperanjat kerana tidak menduga aku akan ke sana menziarahnya. Kebetulan semasa aku tiba, tiada siapa pun menemaninya. Emak Ez sudah pun pulang ke rumah untuk mengambil barang barang keperluan Ez. Sementara menunggu emaknya kembali, aku temankan Ez di situ. Hampir dua jam di hospital. Aku pulang bila Ez sudah hampir terlelap dek kerana ubat yang diambilnya.

Dan sebagai abang, biarpun bukan abang kandungnya, aku tetap mendoakan untuknya seperti selalu. Aku bermohon agar kesihatannya bertambah baik dan sihat sepenuhnya. Apa lagi yang lebih menggembirakan aku bila melihat dia sihat walafiat dan riang selalu. Itu yang penting.


(credit 1: Good Luck Wishes taken from 4to40.Com)
(credit 2: Get Well Wishes taken from 123Greetings.Com)




-XiS-

Labels: , ,

 
posted by Xis at 11:25 PM | Permalink | 8 comments